“Aceh boleh capai kemajuan lebih dari Malaysia. (Kerana) Aceh memiliki kebolehan yang diperlukan untuk mencapai kemajuan.”
Tun Dr. Mahathir Mohamad (9 Sep 2009)
Aceh atau juga sering dieja sebagai Acheh, Acheen, Atjeh dan beberapa nama lain mengikut Encyclopedia Britannica (1998) adalah suatu kawasan yang sekarang dikenali sebagai Provinsi Aceh di Indonesia. Sebelum bergabung dengan Indonesia pasca perang dunia ke-2, Aceh adalah suatu kesultanan Islam yang merupakan penggabungan beberapa kerajaan Islam di wilayah berkenaan sekitar abad ke-13 Masehi. Sebelum itu, antara abad ke-7 sehingga abad ke-13, di tanah Aceh telah berdiri beberapa kesultanan Islam besar lainnya yang banyak dibincangkan dalam sejarah antaranya kerajaan Islam Peureulak, kerajaan Islam Samudera Pasai, dan kerajaan Islam Pedir.


Provinsi Aceh terletak di ujung paling barat Pulau Sumatera berbatasan langsung dengan Provinsi Sumatera Utara di sebelah timur, dengan Samudera Hindia di sebelah selatan, dengan Laut Andaman di sebelah barat dan dengan Selat Melaka di sebelah utara. Dengan keluasan kawasan kira-kira 58,375.63 kilometer persegi, Aceh mempunyai jumlah populasi menurut bancian penduduk pada tahun 2007 seramai 4.22 juta jiwa (BPS 2008). Dengan keluasan sebegitu, Aceh merupakan provinsi terluas keempat di Pulau Sumatera yang merupakan pulau terbesar kedua di Indonesia yang mempunyai keluasan kira-kira 446,687 kilometer persegi atau setara dengan 24.01 peratus keseluruhan keluasan negara Indonesia. Dari segi penghasilan rata-rata bulanan per kapita menurut kelas gaji, Aceh merupakan wilayah ketiga dengan kadar gaji bulanan tertinggi di Indonesia setelah Provinsi Papua dan DKI Jakarta iaitu sebesar IDR 1,275,908 (BPS 2008).

Perkataan “Aceh” sebenarnya secara historis merujuk pada keseluruhan kawasan yang menjadi taklukan Kesultanan Aceh Darussalam bermula pada abad ke-13 sehingga pada penghujung abad ke-19 yang menyatukan semua kesultanan Islam di wilayah berkenaan. Namun dalam konteks sekarang, wilayah Aceh bermaksud Provinsi Aceh di Indonesia yang terdiri dari 23 daerah kabupaten/kota yang dipanggil daerah tingkat 2 dan mempunyai 119 pulau (BPS Aceh 2008).

Wilayah Aceh yang terdiri dari beberapa pelabuhan negeri pada awalnya bukanlah merupakan kawasan yang menjadi perhatian dunia sehinggalah agama Islam diambil sebagai agama rasmi kerajaan pada abad dua belas sehingga tiga belas Masehi dan ia telah berkembang sebagai salah satu pusat perdagangan antarabangsa terutamanya antara Asia Tenggara, Asia Tengah, Jazirah Arab, dan Eropah. Aceh secara luas dikenal sebagai kawasan pertama masuknya agama Islam di Nusantara atau bahkan di Asia Tenggara melalui pedagang-pedagang Arab dan Persia sekitar tahun 674 Masehi (Mohammad Said 1981:53-81). Perlak (orang Aceh menyebutnya Peureulak) adalah kerajaan Islam pertama di Nusantara, terletak di bahagian timur Aceh (Reid 2000), yang didirikan sekitar tahun 225 Hijriah atau 840 Masehi dengan nama sultan yang pertama adalah Sultan Alauddin Sayid Maulana Abdul Aziz Syah (Mohammad Said 1981:66).

Aceh kini merupakah satu-satunya daerah di Indonesia yang diberi hak otonomi khusus untuk mengelola daerah sendiri berdasarkan Undang-Undang No. 11 Tahun 2006 sebagai manifestasi perjanjian Helsinki yang yang ditandatangani pada 15 Ogos 2005 di Finlandia. Aceh merupakan salah satu dari dua provinsi di Indonesia yang mempunyai status “zona perdagangan bebas dan pelabuhan bebas” yang diberi kepada Pulau Sabang.

Aceh adalah antara tempat-tempat singgah dan bermukim yang paling awal oleh para pedagang Arab, Persia, dan India dalam usaha mereka mencari komoditi-komoditi unggul pada masa dahulu seperti rempah-ratus dan juga dalam usaha mencari pasar serta produk-produk dari negeri Cina. Catitan pengembaraan seorang agamawan Cina bernama I-Tsing menyatakan bahawa beliau telah bertolak dari Canton menuju India pada tahun 672 Masehi dengan menumpang kapal dagang Persia telah singgah di Aceh dan di sana pada waktu itu telah wujud perkampungan pedagang Arab (Mohammad Said 1981:55-56).


Gerini (1909) sebagaimana dikutip oleh Mohammad Said (1981:57) menyebutkan bahawa para pedagang Arab dan Persia tersebut telah sangat dikenal oleh para penduduk tempatan di Aceh dan mereka sangat kerap melakukan perjalanan berulang-alik ke pelabuhan-pelabuhan Aceh melakukan transaksi dagang sejak pertengahan abad ke-10 atau sejak abad ke-11 menurut Reid (1969, 1995). Perlak atau Ferlec (sebutan oleh Marco Polo) dan Samudera (kemudian dikenal sebagai Pasai) adalah antara pelabuhan-pelabuhan terbesar dan utama di kawasan ini antara abad ke-13 dan abad ke-14 Masehi. Pelabuhan Lhokseumawe selama lebih 150 tahun merupakan pusat dagang terbesar di wilayah timur bagi para peniaga muslim dalam jalur perniagaan mereka dan menjadi pusat kepada pengembangan keilmuan dan perdagangan (Reid 1969). Menurut Reid juga, perkataan Sumatera diambil dari catitan-catitan Marco Polo ketika menyebutkan Negeri Samudera dan memberi nama tersebut untuk menyebut keseluruhan pulau berkenaan (Reid 1995). Sebelum itu, Pelabuhan Lambri atau Lamuri merupakan pelabuhan Aceh yang menjadi tumpuan utama para pedagang Arab dan Persia pada abad ke-10 sehingga abad ke-12 (Gerini 1909; Mohammad Said 1981).

Antara abad ke-16 sehingga abad ke-18 Masehi, Aceh telah mempunyai beberapa pelabuhan perdagangan yang besar yang bersaing dengan kuasa-kuasa besar dari Eropah seperti Portugis, Sepanyol, Perancis, Belanda, dan Inggris dan beberapa negara Asia seperti Cina dan India dalam mengawal jalur Selat Melaka dan keseluruhan kawasan tersebut. Mereka bersaing untuk merebut dominasi atas pengaruh politik dan ekonomi di kawasan berkenaan khususnya dalam bidang perdagangan (Reid 1969, 1995; Anderson 1840, 1971; Moor 1837; Tolson 1880; Marsden 1986).

Antara komoditi-komoditi waktu itu yang ditransaksi di pelabuhan-pelabuhan Aceh adalah getah, lada, beras dan padi, kapas, rotan, pinang, tembakau, kopi, kapur, kayu putih, serbuk emas, timah, dan sebagainya. Lada dan pinang adalah antara komoditi utama yang dihasilkan di Aceh (Moor 1837; Reid 1969, 1995). Pelabuhan-pelabuhan Aceh memberi kontribusi kira-kira setengah keseluruhan bekalan lada dunia untuk masa antara 1550-1940 (Reid 1995). Pelabuhan-pelabuhan Aceh telah pun melakukan transaksi dengan para pedagang dari Eropah, Amerika, Afrika, dan Asia selama ratusan tahun (Anderson 1840, 1971; Moor 1837; Tolson 1880; Masrden 1986). Pada tahun 1805, pihak Inggris telah menyatakan keinginan mereka untuk membina sebuah stesen atau sebuah kilang di Aceh (Anderson 1840).

Nama-nama pelabuhan di Aceh sekitar tahun 1814 sebagaimana disebut oleh Anderson (1840:159) adalah Tapoos, Sebadi, Pulau Dua, Kalavat, Telapow, Muckie Utara dan Selatan, Labuan Haji, Senanghan, Annalaboo, Pulo Ryah, Tarang, Manghin, Seimeyoh, Tareepuli, Taddow, Singkel, Ayam Dammah, Terooman, Rhambong, Saluhat, Soosoo, Kivala Batu, Bahroos, Tampattuan, dan Samadua semuanya di pesisir barat; Acheen, Pedada, Lawang, Pedir, Pakan, Selu, Burong, Sarong, Murdoo, Samalangan, Passangan, Junka, Teluksamoy, Chunda, Passy, dan Curtoy semuanya di pesisir utara atau timur. Kapten Coombs, yang melawat Aceh pada awal tahun 1818, memperkirakan nilai kegiatan dagangan ekspor dan impor adalah 2,234,250 dolar Sepanyol. Jumlah ekspor untuk pinang sahaja adalah antara 15,000 sehingga 16,000 tan per tahun (Anderson 1840:161-163).

Dominasi Aceh dalam perdagangan dan politik di kawasan berkenaan mencapai puncak kejayaannya pada masa Sultan Iskandar Muda antara tahun 1607 sehingga 1636 Masehi. Kawalan diraja adalah efektif ke atas semua pelabuhan penting di pesisir barat dan timur Sumatera (Reid 1969). Pada tahun 1511, Portugis menawan pelabuhan Melaka yang strategik dan penting (Reid 1969; Jabatan Perdagangan dan Industri 1945), mendorong banyak pedagang Asia dan Arab menukar kegiatan perdagangan mereka ke pelabuhan-pelabuhan Aceh dan Pulau Pinang dengan membawa seluruh kekayaan dan harta mereka. Peningkatan kuasa politik dan perniagaan pihak Belanda dan Portugis di kawasan Selat Melaka dan di beberapa tempat lain di Nusantara memberi kesan negatif kepada pelabuhan-pelabuhan Aceh khususnya setelah kemangkatan Sultan Iskandar Muda pada tahun 1636 Masehi (Reid 1969).

Bagaimanapun, pelabuhan-pelabuhan Aceh sekali lagi mengalami perubahan besar setelah tahun 1786 sempena penubuhan pusat pemunggahan barang atau entrepot Inggris di Pulau Pinang dan pengenalan pertanian lada kepada kawasan-kawasan kurang berkembang di pesisir barat Aceh (Reid 1969). Malangnya lagi, menurut Reid, satu siri perebutan kuasa, pemberontakan dan pergaduhan selama abad ke-18 telah membawa situasi politik Aceh ke titik terendah. Pemerintahan yang anarkhi dan buruk di dalam negeri juga telah turut menyumbang kepada kemunduran pelabuhan-pelabuhan Aceh. Selama abad ke-19, Kesultanan Aceh telah pun berada pada posisi yang semakin melemah sehubungan dengan perpecahan beberapa negeri dalam taklukan Kesultanan Aceh (Moor 1837).

Selain krisis dalaman ini, penurunan kuasa Aceh khususnya dalam industri kepelabuhanan dan perdagangan juga dipengaruhi oleh kondisi luaran. Pada 17 hari bulan Mac 1824 di London, Inggris Raya telah menandatangani sebuah treaty dengan Belanda berkaitan dengan penyerahan beberapa tanah pendudukan dan kawasan perdagangan di bawah the East-Indies. Perjanjian ini menyebutkan bahawa Belanda mendapatkan hak kawalan ke atas semua pendudukan Inggris di Sumatera dan sebagai penggantinya Belanda menyerahkan kepada Inggris beberapa kawasan perdagangan di India dan menarik semua klaim atas Singapura dan Melaka (Anderson 1840). Pada tahun 1873, Belanda mengeluarkan deklarasi perang secara rasmi dan menyerang Kerajaan Aceh. Perang antara Aceh dan Belanda tersebut berhenti seketika pada tahun 1903 tetapi kemudian berlanjut secara terus menerus sehingga tahun 1942 ketika Belanda harus angkat kaki dari tanah Aceh setelah pendudukan Jepun.

Kebangkitan Pelabuhan Bebas Singapura antara tahun 1819 sehingga 1822 dan kemudian berlanjut pada tahun-tahun berikutnya telah memberikan impak tertentu kepada kemunduran pelabuhan-pelabuhan Aceh dan juga kepada beberapa pelabuhan lain dalam wilayah berkenaan seperti Pelabuhan Pulau Pinang. Kegiatan-kegiatan perompakan atau bajak laut di sekitar perairan Selat Melaka juga telah menyumbang kepada kemunduran Pelabuhan Pulau Pinang dan juga pelabuhan-pelabuhan Aceh (Cameron 1865; Jabatan Perdagangan dan Industri 1945).

Menurut Anderson (1840), sebenarnya Inggris telah menilai dan mempertimbangkan Aceh sebagai satu kawasan yang secara geografis posisinya sangat menguntungkan, mempunyai sumber-sumber alam dan populasi yang besar, dan tertarik serta yakin bahawa perdagangan yang sebelumnya telah berjalan secara luas akan dapat dihidupkan semula dengan cepat dengan memulihkan kenyamanan dan keyakinan ekonomi yang hanya dapat diwujudkan dengan kehadiran pentadbiran Inggris. Anderson (1840) mengutip perkataan Raffles yang menyebutkan bahawa Sumatera boleh jadi lebih bernilai dan bermakna kepada Inggris berbanding Pulau Jawa dengan pertimbangan beberapa nilai dan sumber seperti telah disebutkan di atas. Moor (1837) menyebutkan bahawa dengan kepakaran dan tenaga (energi) yang dimiliki, Aceh akan dapat pulih dengan segera dan membuat kejutan dalam dunia perdagangan di Nusantara.

Peluang inilah yang pertama cuba dimanfaatkan oleh pihak Belanda ketika melakukan pendudukan paksa atas tanah Aceh. Antara tarikan utama pihak Belanda waktu itu adalah pembangunan Pulau Sabang yang hanya berjarak 15 batu nautika dari ibukota Kerajaan Aceh di Banda Aceh sebagai pelabuhan utama mereka.

Antara tahun 1881 - 1884, Belanda merencanakan untuk mendirikan Kolen Station di Balohan, Sabang. Tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1887, sebuah syarikat Belanda bernama Firma De Lange telah membangun Sabang Haven iaitu kemudahan sarana dan prasarana untuk perdagangan dalam bentuk satu pelabuhan. Pada 1895, Kolen Station selesai dibangun oleh Firma DeLange (BPPS 1981; BPKS 2006). Pelabuhan Sabang secara rasmi dibuka pada tahun 1895 yang dioperasikan oleh satu syarikat bernama Sabang Mactscappij (BPKS 2006). Hanya berselang setahun kemudian iatu pada tahun 1896, Belanda telah menetapkan Sabang sebagai pelabuhan bebas (BPPS 1981).

Pada awal perang dunia ke-2, Sabang diduduki oleh Jepun dan dijadikan basis pertahanan laut oleh Jepun untuk kawasan berkenaan. Serangan tentara sekutu ke atas Jepun di Sabang kemudiannya telah mengakibatkan Pelabuhan Sabang mengalami kerosakan hebat dan terpaksa ditutup sehingga tahun 1950. Pada tahun ini, Sabang telah dijadikan Daerah Pertahanan Maritim Indonesia (BPPS 1981; BPKS 2006).

Pada 16 Oktober 1963, di bawah pentadbiran Pemerintah Indonesia, Sabang telah ditetapkan sebagai Pelabuhan Bebas (Free Port) atas rekomendasi hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh Lembaga Penelitian Ekonomi dan Sosial Universitas Syiah Kuala bekerjasama dengan Gabungan Pengusaha Ekspor Indonesia Sumatera (BPPS 1981; BPKS 2006). Status ini terus diperkuat dengan menjadikan Sabang sebagai Daerah Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas pada tahun 1970 untuk jangka masa 30 tahun (BPPS 1981). Namun status ini kemudian dicabut pada tahun 1985 oleh Pemerintah Indonesia (BPKS 2006).

Pada tahun 1993, posisi Sabang telah diperhitungkan semula dengan terbentuknya kesepakatan kerjasama ekonomi regional Indonesia–Malaysia–Thailand Growth Triangle (IMT-GT). Atas desakan politik dan ekonomi, pada tahun 1998 status Sabang kembali disuarakan. Kota Sabang dan Kecamatan Pulo Aceh telah ditetapkan sebagai sebagai Kawasan Pengembangan Ekonomi Terpadu (KAPET), dirasmikan oleh Presiden BJ. Habibie pada 26 September 1998. Hanya berselang 2 tahun, pada tahun 2000, status kawasan Sabang dikembalikan ke status asal yakni sebagai Kawasan Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas oleh Presiden KH. Abdurrahman Wahid (BPKS 2006).

Sebagai tindak lanjut isi perjanjian Helsinki antara Pemerintah Indonesia dan GAM pada 15 Ogos 2005, Aceh telah diberi hak untuk mengelola sendiri semua sarana dan prasarana pengangkutan termasuk pengelolaan pelabuhan. Atas persetujuan bersama, telah dibentuk suatu badan yang dipanggil dengan Badan Pengusahaan Kawasan Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Sabang (BPKS) dibawah pengawasan Dewan Kawasan Sabang yang akan mengelola Kawasan Perdagangan Bebas dan Pelabuhan Bebas Sabang termasuk Pulo Aceh. BPKS sendiri telah mengeluarkan pelan khusus untuk Sabang dimana Pelabuhan Sabang akan dijadikan pelabuhan hub antarabangsa.

0 comments